KUANTAN – Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihatkan seluruh rakyat di Pahang agar sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan dikeluarkan pihak kerajaan dan agensi berkaitan, sepanjang menghadapi musim tengkujuh.

Menerusi hantaran di Facebook Kesultanan Pahang, baginda bertitah rakyat perlu mengutamakan aspek keselamatan diri dan keluarga, khususnya ketika berhadapan keadaan cuaca tidak menentu serta risiko hujan berterusan, yang boleh mengakibatkan banjir dan bencana alam lain.

“Baginda menyeru penduduk di kawasan rendah dan berhampiran lembangan sungai supaya mengambil langkah persediaan awal, termasuk mengamankan dokumen penting, memastikan kenderaan diletakkan di kawasan selamat serta bersedia untuk berpindah sekiranya diarahkan oleh pihak berkuasa,” menurut hantaran itu.