PETALING JAYA : Semua petugas barisan hadapan Polis Kontinjen Kuala Lumpur diarahkan supaya sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi serta tidak teragak-agak mengambil tindakan termasuk menembak ketika berdepan sebarang ancaman keselamatan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus berkata, setiap anggota perlu bertindak pantas dan tegas serta tidak membiarkan keraguan menjejaskan keupayaan mereka menangani sebarang ancaman.

“Jika ada apa-apa halangan, tembak. Ada apa-apa keraguan, tembak. Ada rasa kerisauan atau ancaman, tembak. Jangan tunggu.

“Saranan saya kepada semua elemen (polis Kuala Lumpur) yang ada di lapangan, saya tidak mahu kejadian seperti yang berlaku di Gombak, berlaku terhadap anggota saya yang bertugas di ‘barisan hadapan’ (frontliner),” katanya dalam rakaman audio yang disiarkan melalui laman rasmi Facebook Polis KL.