Rom: Legenda MotoGP, Valentino Rossi mencetuskan perhatian menerusi kenyataan terbaharunya mengenai Marc Marquez apabila mendedahkan bahawa pernah timbul risiko anak perempuannya dilahirkan pada tarikh hari jadi pelumba Sepanyol itu.
Hubungan Rossi dan Marquez mula tegang selepas kontroversi pada penghujung musim 2015 apabila juara dunia MotoGP tujuh kali itu menuduh Marquez yang menunggang Honda ketika itu cuba menggagalkan peluangnya memburu gelaran dunia.
Hubungan kedua-duanya tidak pernah pulih, malah Rossi terus mempertahankan pandangannya mengenai insiden musim 2015 itu sepanjang tempoh sedekad lalu.
Ketika mempromosikan pelancaran autobiografi terbaharunya, Rossi awal minggu ini berkata kekalahan perebutan gelaran dunia pada 2015 itu masih menyakitkan hatinya, selain menyifatkan tindakan Marquez ketika itu sebagai sesuatu yang tidak masuk akal.










