TEL AVIV: Penunjuk perasaan berhimpun di beberapa bandar di Israel pada malam Sabtu bagi mendesak pembentukan kerajaan baharu yang turut melibatkan parti-parti Arab yang mewakili masyarakat Palestin di Israel, manakala aktivis sayap kanan mengadakan demonstrasi balas bagi membantah penyertaan parti berkenaan serta menuntut pilihan raya baharu.
Akhbar harian Israel, Haaretz melaporkan, ribuan orang berhimpun di Dataran Habima, tengah Tel Aviv, bagi mendesak pembentukan kerajaan melalui kerjasama dengan Joint List dan Ra’am, iaitu Senarai Arab Bersatu.
Penunjuk perasaan membawa sepanduk dengan slogan termasuk ‘Melalui kerjasama dan kesamarataan, kita mengubah kerajaan’ dan ‘Rakyat telah memberikan sokongan kepada anda, bentuk kerajaan sekarang’, sebelum berarak menuju ke Dataran Rabin.









