KUALA LUMPUR: Bahagian awam Malaysia bagi tawaran awam permulaan (IPO) Impact Capital Holdings Bhd terlebih langgan sebanyak 139.69 kali menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE.
Impact Capital dalam satu kenyataan berkata, sebanyak 15,203 permohonan diterima bagi 3.38 bilion saham baharu, berbanding 24 juta saham yang disediakan kepada orang awam Malaysia melalui proses pengundian.
Bagi bahagian awam Bumiputera, syarikat menerima 8,020 permohonan untuk 1.63 bilion saham baharu, bersamaan kadar lebihan langganan 135.15 kali.
Bahagian awam Malaysia lain pula menerima 7,183 permohonan untuk 1.74 bilion saham baharu, mewakili kadar lebihan langganan lebih tinggi sebanyak 144.23 kali.









