KUALA LUMPUR: Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) sedia memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa, termasuk membantu sebarang audit berhubung dakwaan campuran minyak sawit import dengan bekalan tempatan sebelum dieksport semula sebagai produk Malaysia.
Pengerusi PKFZ, Lim Lip Eng, berkata pihaknya beroperasi mengikut Akta Zon Bebas manakala penguatkuasaan ketulenan dan pematuhan produk terletak di bawah bidang kuasa agensi berkaitan.
Beliau berkata, agensi terbabit termasuk Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), SIRIM, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) serta Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).
"Kita sedia bekerjasama dan menyalurkan bantuan sepenuhnya, termasuk menyediakan laporan berkaitan serta memudahkan sebarang permintaan audit," katanya dalam kenyataan.









