Kesungguhan memperkasakan pembangunan bola sepak akar umbi menjadi antara matlamat utama penubuhan Batu Kurau Football Academy (BKFA) yang bakal membuka peluang kepada lebih ramai kanak-kanak di kawasan itu mengembangkan potensi dalam sukan berkenaan.

Pengasasnya, Rohida Mohamad berkata, penubuhan akademi itu bukan sekadar mahu menyediakan platform latihan bola sepak kepada kanak-kanak setempat, sebaliknya menjadi titik permulaan untuk melahirkan pemain yang mampu melangkah lebih jauh dalam karier sukan berkenaan.

Menurutnya, peluang dan pendedahan kepada pemain muda perlu diberikan sejak peringkat awal supaya bakat yang dimiliki dapat dikenal pasti, diasah serta dibentuk menerusi sistem latihan yang lebih tersusun.