PANTAI KUNDOR: BERSATU menyifatkan sambutan menggalakkan pengundi di tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandinginya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebagai petanda positif menjelang hari pengundian Sabtu ini.
Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata gerak kerja parti yang dilaksanakan sejak awal kempen menunjukkan perkembangan positif, berdasarkan kehadiran pengundi yang menggalakkan pada program parti di beberapa kawasan.
Menurutnya, sambutan itu turut dapat dilihat di DUN Pantai Kundor apabila ramai hadir pada program kempen calon BERSATU, Datin Seri Dr Asmah Ibrahim.
Katanya, beliau berharap sokongan yang ditunjukkan pengundi sepanjang tempoh kempen dapat diterjemahkan menerusi undi pada 14 November ini.








