Shah Alam: Pakatan Harapan (PH) yakin sokongan pengundi di kerusi tumpuan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka kekal positif hasil gerak kerja lapangan dan khidmat kepada rakyat yang dilaksanakan calon serta parti sejak empat hingga lima tahun lalu.

Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, keyakinan itu bukan bersandarkan tempoh berkempen selama dua minggu semata-mata, sebaliknya hasil usaha berterusan parti dalam menyediakan sokongan dan memenuhi keperluan rakyat.

Beliau yang juga Naib Presiden PKR berkata, meskipun pergerakan kempen dilihat sedikit perlahan pada dua hari pertama, pihaknya yakin momentum berkenaan akan meningkat sepanjang tempoh berkempen.

Katanya, sebahagian besar kempen ketika ini turut digerakkan menerusi media sosial berbanding pertemuan secara fizikal, namun program bertemu pengundi tetap berlangsung.