KANGAR: Sumbangan enam dekad dalam dunia penulisan diiktiraf apabila bekas Editor Meja Sastera Berita Harian (BH), Abd Rahim Abdullah dinobatkan penerima Anugerah Sasterawan Negeri Perlis 2026.

Penganugerahan anjuran Kerajaan Negeri Perlis dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) itu mengiktiraf ketokohan anak kelahiran Kampung Bohor Inai, di sini yang mula berkarya sejak 1964.

Abd Rahim, 78, yang berkhidmat di BH antara Februari 1994 hingga April 1998, terbukti subur dengan deretan karya unggul pelbagai genre yang memenangi anugerah peringkat kebangsaan dan serantau.

Ketua Panel Penilai, Dr Mohd Hanafi Ibrahim berkata, pemilihan Abd Rahim menepati piawaian tertinggi panel berikutan konsistensinya berkarya secara berterusan serta pencapaian puncak di persada sastera negara dan Nusantara.