Pasukan mikrosurgeri Hospital Kuala Lumpur mengambil masa lapan jam menyambung semula pergelangan tangan kanan Lans Koperal Thierry Rodger yang putus ditetak di Kepong.
KUALA LUMPUR: Pembedahan untuk menyambung semula pergelangan tangan kanan seorang anggota polis yang terputus akibat diserang oleh seorang lelaki warga asing bersenjatakan parang di Kepong, semalam, berjaya dilaksanakan.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Susulan kejayaan itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada pasukan pakar bedah, doktor, jururawat dan seluruh petugas kesihatan Hospital Kuala Lumpur (HKL), di atas kejayaan berkenaan.








