GEORGE TOWN: Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) PBA Holdings Bhd (PBAHB) hari ini meluluskan cadangan pembelian bekalan air terawat secara pukal dari Perak di bawah Skim Bekalan Air Perak Utara (NPWSS), yang dijadual bermula pada 31 Mac 2032.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata cadangan itu mendapat sokongan 97.93 peratus undi oleh pemegang saham, sekali gus memenuhi satu daripada dua syarat terdahulu dalam perjanjian pembelian air pukal antara Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) dengan Prasarana Air dan Irigasi Perak Sdn Bhd.
"Hari ini kita sudah memperoleh kelulusan itu dan kita akan memaklumkan kepada Bursa Malaysia serta syarikat di Perak untuk mengambil langkah-langkah bagi memulakan projek berkaitan.








