AS tarik skuad B-17 dari Piala Dunia di QatarAmerika Syarikat (AS) mengambil keputusan menarik diri daripada saingan Piala Dunia Bawah 17 Tahun (B-17) FIFA di Qatar atas faktor keselamatan susulan kebimbangan terhadap risiko konflik bersenjata di rantau berkenaan.Keputusan itu disahkan Persekutuan Bola Sepak AS (US Soccer) menerusi surat kepada pemain pada Rabu, yang turut memaklumkan pembatalan kem latihan pr kejohanan serta penyertaan pasukan itu dalam kejohanan berkenaan.US Soccer menjelaskan keputusan itu dibuat berdasarkan perkembangan semasa, termasuk nasihat perjalanan Tahap 3 yang dikeluarkan Jabatan Negara AS untuk Qatar.Nasihat berkenaan meminta rakyat AS mempertimbangkan semula perjalanan ke negara itu berikutan risiko konflik bersenjata, selain merujuk serangan kumpulan Houthi ke atas Arab Saudi, termasuk lapangan terbang awam dan infrastruktur penting."Keselamatan dan kebajikan pemain serta kakitangan akan sentiasa menjadi keutamaan kami," menurut kenyataan US Soccer dalam surat berkenaan.Persekutuan itu turut memaklumkan akan menghubungi kelab yang diwakili pemain terbabit bagi menjelaskan keputusan berkenaan, selain meminta mereka tidak memberikan sebarang komen kepada umum sehingga FIFA mengumumkan keputusan rasmi.Sementara itu, Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) mengesahkan pihaknya sudah dimaklumkan mengenai keputusan AS untuk menarik diri daripada kejohanan itu.Bagaimanapun, FIFA menegaskan penilaian keselamatan mereka terhadap penganjuran kejohanan itu tidak berubah dan tiada perkembangan baharu yang menjejaskan tahap keselamatan di Qatar."Peraturan kejohanan yang berkaitan akan dipatuhi. Penilaian keselamatan FIFA kekal tidak berubah dan tiada perkembangan baharu yang menjejaskan situasi keselamatan sepanjang kejohanan," menurut kenyataan badan induk bola sepak dunia itu.FIFA turut memahami keputusan US Soccer dibuat berdasarkan nasihat perjalanan Tahap 3 yang dikeluarkan kerajaan AS, namun menegaskan keselamatan semua peserta dan peminat kekal menjadi keutamaan.Kejohanan Piala Dunia B-17 yang membabitkan 48 pasukan itu dijadual berlangsung dari 19 November hingga 13 Disember ini.AS sebelum ini dijadual membuka kempen Kumpulan J menentang Montenegro pada 21 November, sebelum berdepan Chile dan Algeria.Untuk rekod, AS mara ke pusingan 32 terbaik pada edisi tahun lalu yang turut berlangsung di Qatar, negara yang diberikan hak untuk menganjurkan kejohanan itu setiap tahun sehingga 2029.