Johor Bahru: Larkin Sentral Property Berhad (LSPB), sebuah Syarikat milik penuh Waqaf An-Nur Corporation Berhad (Waqaf An-Nur) mengorak langkah ke hadapan dalam agenda transformasi pengangkutan awam Negeri Johor menerusi pelancaran Blueprint Green & Smart Terminal serta pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ).

Sebagai sebuah terminal wakaf, pembangunan Larkin Sentral bukan sahaja membawa fungsi sebagai hab pengangkutan awam, malah mencerminkan peranan Waqaf An-Nur dalam memanfaatkan aset wakaf secara produktif demi kepentingan masyarakat.

Blueprint Green & Smart Terminal, hasil kerjasama strategik antara LSPB dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), menyediakan hala tuju bagi memperkukuh pengurusan terminal melalui penerapan teknologi, kecekapan operasi dan amalan kelestarian.