Kuala Lumpur: Hasrat beregu lelaki negara, Man Wei Chong-Tee Kai Wun untuk meneruskan momentum cemerlang selepas menjuarai Terbuka Perancis bulan lalu tidak kesampaian apabila tersingkir di pusingan kedua Masters Kumamoto, hari ini.
Pasangan ranking kesembilan dunia itu gagal melepasi halangan wakil Denmark, Daniel Lundgaard-Mads Vestergaard selepas tewas 15-21, 18-21 kepada gandingan yang menghuni ranking ke-14 dunia itu dalam tempoh masa 34 minit.
Kekalahan berkenaan menyaksikan perjalanan Man-Tee di Jepun berakhir lebih awal.
Ia sekali gus menutup peluang mereka menambah satu lagi pencapaian selepas muncul juara Terbuka Perancis sebelum mara ke separuh akhir Terbuka Korea minggu lalu.









