PETALING JAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka menunaikan solat Jumaat di Penjara Kajang mengikut prosedur yang ditetapkan pihak penjara.

Perkara itu disahkan anaknya, Datuk Mohd. Nazifuddin Najib kepada Utusan Malaysia yang memaklumkan bahawa urusan berkenaan merupakan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu dipatuhi.

“Untuk makluman, beliau akan dibawa ke Kajang bagi menunaikam solat jumaat,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. Dalam pada itu, Nazifuddin berkata, keputusan mengenai siapa yang akan tinggal bersama bapanya masih belum dimuktamadkan dan belum ada sebarang perbincangan lanjut berhubung perkara itu.

Menurutnya, beliau kali terakhir bertemu bapanya dua hari lalu dan turut merancang membawa anak-anaknya bertemu Najib namun perkara itu tidak akan dilakukan dalam masa terdekat.