LIPIS: Daerah Lipis menerima peruntukan pembangunan infrastruktur berjumlah RM1.83 bilion, tertinggi berbanding daerah lain di Pahang, sekali gus mencerminkan tumpuan kerajaan Persekutuan terhadap pembangunan kemudahan pengangkutan di kawasan berkenaan.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan itu membuktikan komitmen Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam memperkukuh jaringan jalan raya serta kemudahan infrastruktur di daerah berkenaan.

Beliau berkata, pembinaan jalan dan jambatan baharu Seberang Jelai-Relong menerusi projek Lingkaran Tengah Utama (LTU) menjadi antara kemudahan penting yang akan memendekkan perjalanan penduduk, selain memudahkan pergerakan ke Kelantan, Kuala Lumpur dan destinasi lain.