KUALA LUMPUR: Anak syarikat Rimbunan Sawit Bhd, RH Plantation Sdn Bhd menjual sebidang tanah seluas 613 hektar di Miri, Sarawak kepada Lembaga Amanah Kebajikan Masjid Negeri Sarawak pada harga RM18.39 juta.

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, syarikat perladangan itu menyatakan bahawa hasil penjualan itu akan digunakan untuk tujuan modal kerja, termasuk menampung perbelanjaan yang berkaitan dengan cadangan penjualan terbabit.

Menurut syarikat itu, cadangan penjualan itu akan membolehkan Rimbunan Sawit menyusun semula dan memperkemaskan portfolio tanah perladangannya, di samping membolehkan anak syarikatnya merealisasikan nilai tanah itu serta menjana hasil tunai bagi menyokong keperluan modal kerjanya.