PETALING JAYA: Edaran Otomobil Nasional Berhad (EON), anak syarikat DRB-HICOM Berhad, menawarkan rebat sehingga RM100,000 menerusi penganjuran EON Auto Finale 2026 yang menghimpunkan sembilan jenama automotif di bawah satu bumbung.
EON Auto Finale pada 14 dan 15 November ini diadakan di ibu pejabat EON, Glenmarie, Shah Alam menampilkan pelbagai promosi hujung tahun melibatkan Proton, Proton e.MAS, smart, Mitsubishi, Isuzu, Audi, Volkswagen, Hyundai dan Zeekr.
Ketua Pegawai Eksekutif EON, Akkbar Danial berkata, penganjuran acara itu bukan sekadar menawarkan harga menarik, malah menyediakan kemudahan dan penyelesaian pemilikan kenderaan secara menyeluruh kepada pelanggan.
Katanya, pelanggan kini bukan sahaja mencari tawaran terbaik, tetapi turut mengutamakan pilihan, kemudahan dan keyakinan sepanjang proses pemilikan kenderaan.









