KUALA LUMPUR: Ringgit ditutup tinggi berbanding mata wang utama dan ASEAN pada Khamis, namun susut berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) berikutan jangkaan yang semakin meningkat terhadap kenaikan kadar faedah secara agresif oleh Amerika Syarikat (AS) telah mendorong permintaan terhadap unit negara maju.
Pada 6 petang, unit tempatan menyusut kepada 4.0765/0805 berbanding dolar AS daripada 4.0710/0745 ketika ditutup pada Rabu.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid, berkata ringgit menyusut 0.22 peratus kepada RM4.0817 berbanding dolar AS sepanjang sesi dagangan dalam keadaan kelemahan yang lebih meluas dalam mata wang serantau.
"Rupiah Indonesia turut mengalami tekanan jualan yang ketara manakala mata wang Asia lain susut berbanding dolar AS susulan jangkaan yang semakin meningkat terhadap langkah memperketat dasar monetari AS yang selanjutnya," katanya kepada Bernama.









