KOTA BHARU – Isteri kepada seorang buruh yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh dari bot di pengkalan pasir di Kampung Chekok, Serendah di sini semalam mengesyaki suaminya mengalami pening akibat tekanan darah rendah ketika berada di atas bot berkenaan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu, mangsa, Muhammad Aqbar Che Abdullah, 35, yang bekerja sebagai pengorek pasir menggunakan jentera berat dikatakan mengalami kekejangan pada bahagian kaki sebelum terjatuh ke dalam sungai dari sebuah bot.

Isteri mangsa, Nor Asnida Mohd. Tarmizi, 32, berkata, dia mengesyaki keadaan kesihatan suaminya, mungkin menjadi punca lelaki itu terjatuh ke dalam sungai ketika menaiki bot bersama rakan sekerja, Azwan Azid, 40, yang juga pemandu bot.