KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meneruskan penurunan untuk sesi keempat berturut-turut, ditutup rendah pada Khamis berikutan tekanan jualan yang berterusan merentasi pelbagai sektor sehingga menjejaskan sentimen pasaran, kata seorang penganalisis.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 9.23 mata atau 0.57 peratus kepada 1,585.96 daripada 1,595.19 ketika ditutup pada Rabu.

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka rendah, turun 3.61 mata kepada 1,591.58 dan mengalami turun naik antara paras terendah intra hari pada 1,583.66 dengan paras tertinggi 1,592.89 sepanjang dagangan.

Di keseluruhan pasaran, ia kekal negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 799 berbanding 318, manakala 476 kaunter tidak berubah, 1,181 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung.