KUALA LUMPUR – Sebanyak 670 permohonan peruntukan penyelenggaraan sekolah telah diterima Kementerian Pendidikan (KPM) daripada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) seluruh negara dalam tempoh seminggu, selepas Saluran Khas PIBG KPM dibuka pada 1 November.

Menterinya, Fadhlina Sidek menerusi hantaran di Facebook hari ini berkata sambutan yang diterima itu, menunjukkan kesungguhan PIBG untuk bersama-sama membantu meningkatkan kemudahan dan persekitaran sekolah demi keselesaan murid.

“Saya gembira melihat sambutan ini. Ia menunjukkan kesungguhan PIBG untuk bersama-sama membantu meningkatkan kemudahan dan persekitaran sekolah, demi keselesaan anak-anak kita,” katanya menerusi hantaran itu.

Beliau berkata KPM mahu melihat PIBG memainkan peranan lebih besar, sebagai rakan strategik kementerian dalam usaha menambah baik ekosistem pendidikan negara.