Setiu: Impian melahirkan lebih ramai atlet berpotensi yang mampu mengharumkan nama negara bermula dengan peluang, kemudahan dan sokongan yang tepat.

Menyedari kepentingan itu, Bank Simpanan Nasional (BSN) menyalurkan peruntukan berjumlah RM100,000 menerusi inisiatif BSN Care Sekolah Angkat MADANI 2026 bagi menaik taraf kemudahan gimnasium Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Nenas, sekali gus memberi manfaat kepada kira-kira 265 pelajarnya.

Inisiatif berteraskan sukan itu bukan sekadar menyediakan kemudahan latihan yang lebih baik, malah menjadi sebahagian daripada usaha memperkasa potensi pelajar serta menyokong pembangunan bakat sukan di peringkat sekolah.

Ketua Eksekutif BSN, Mujibburrahman Abd Rashid berkata, pembangunan potensi pelajar perlu dilihat secara menyeluruh dan tidak hanya tertumpu kepada pencapaian akademik, sebaliknya turut merangkumi penglibatan dalam bidang sukan.