Kuala Lumpur: Individu yang ingin menziarahi bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di kediamannya di Langgak Duta, di sini, dijangka perlu mendapatkan kebenaran terlebih dahulu mengikut prosedur yang ditetapkan Jabatan Penjara Malaysia.
Peguamnya, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah berkata, pihaknya masih belum mengetahui secara terperinci kaedah lawatan yang akan dilaksanakan, namun menjangkakan perlu membuat permohonan terlebih dahulu.
"Pelawat tetap perlu mendapatkan kebenaran (Jabatan Penjara Malaysia) untuk menemuinya," katanya pada sidang media selepas prosiding di Mahkamah Tinggi, hari ini.
Mahkamah Tinggi di sini, hari ini memerintahkan Najib menjalani baki hukuman penjara bagi kes SRC International Sdn Bhd menerusi kaedah tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta, berkuat kuasa serta-merta.










