KOTA BHARU: Bagi ribuan anak kelahiran Pantai Timur yang sedang mencari rezeki di Lembah Klang, kepulangan ke kampung halaman amat sinonim dengan tempoh perjalanan yang panjang, selain kesesakan luar biasa yang dianggap satu 'acara tahunan', terutamanya menjelang musim perayaan dan cuti panjang.

Bagaimanapun, situasi itu bakal berubah tidak lama lagi apabila Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dijadualkan memulakan operasinya pada 12 Disember, sekali gus memendekkan perjalanan dari Gombak ke Kota Bharu kepada kira-kira empat jam, sekali gus memberi pilihan kepada mereka yang ingin pulang ke kampung dengan lebih cepat dan selesa.

Peluang yang diberikan kepada warga media untuk menaiki ECRL dari Terminal Bersepadu Gombak ke Kota Bharu berjaya memberikan gambaran awal mengenai keupayaan perkhidmatan rel itu, kerana ia bukan sahaja memendekkan tempoh perjalanan, sebaliknya turut menyediakan kemudahan yang sesuai dengan keperluan penumpang sepanjang perjalanan tersebut.