KUALA LUMPUR: Penolong Ketua Jurulatih Pasukan Wanita Sabah FA Petronella Douny melakar sejarah tersendiri apabila muncul wanita Malaysia pertama berjaya memperoleh Sijil Kejurulatihan AFC Pro Diploma.
Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kenyataan hari ini berkata kejayaan berprestij itu diraih menerusi program JFA-AFC Diploma Course for Elite Female Coaches yang mengambil masa setahun tiga bulan melibatkan empat modul latihan iaitu tiga di Jepun dan satu di China.
Terdahulu, FAM memaklumkan peluang keemasan itu hadir selepas badan induk itu menerima tawaran daripada Persatuan Bolasepak Jepun (JFA) untuk menghantar seorang jurulatih menyertai program bertaraf elit berkenaan.
FAM dalam kenyataan memaklumkan selepas meneliti kelayakan dan latar belakang calon bersesuaian, pihaknya memutuskan untuk mencalonkan Petronella, sekali gus melayakkannya menerima pembiayaan biasiswa penuh tanpa sebarang kos penyertaan.






