PUTRAJAYA- Kerajaan meluluskan peruntukan lebih RM250 juta untuk memperkukuh pembangunan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Kelantan.
Kementerian Kewangan berkata, peruntukan itu merangkumi RM30 juta bagi pembinaan terminal bas baharu di Stesen ECRL Kota Bharu, manakala selebihnya iaitu lebih RM200 juta bagi kerja-kerja awalan cadangan pemanjangan jajaran ECRL dari Kota Bharu ke Rantau Panjang.
Katanya, fasa awal pemanjangan jajaran ECRL ini meliputi kerja-kerja reka bentuk awal, ukur dan penyiasatan tanah dan Penilaian Kesan kepada Alam Sekeliling (EIA).
Ini termasuk penyediaan Skim Kereta Api serta kerja-kerja penyediaan tapak bagi membolehkan projek dilaksanakan pada fasa seterusnya.







