PUTRAJAYA: Kerajaan akan membangunkan 'fiqh mualaf' sebagai garis panduan jelas bagi membimbing kehidupan golongan saudara baharu di negara ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan, berkata pembangunan fiqh mualaf akan diterajui Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan dengan kerjasama agensi agama dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan.

"Kerangka ini akan memberikan panduan, parameter dan dawabit kepada saudara mualaf kita dalam menjalani kehidupan selari dengan ajaran al-Quran dan sunnah.

"Barangkali inilah akan menjadi satu kerangka rujukan dan bimbingan kepada mualaf, yang juga boleh dirujuk semua pihak supaya kita dapat mewujudkan keharmonian di negara ini," katanya selepas Sidang Meja Bulat Dakwah Mualaf di sini, tadi.