KUALA LUMPUR: Evolvelectric Motors Sdn Bhd tampil dengan trak pikap plug-in hybrid (PHEV) pertama versi pemasangan tempatan (CKD) di Malaysia menerusi JAC T9 PHEV Petrol.

Model itu dilancarkan menerusi dua varian iaitu standard pada harga RM154,888 dan ADVENTURE pada RM162,888, dengan kedua-duanya tidak termasuk cukai jalan dan insurans.

Pengenalan JAC T9 PHEV Petrol menyaksikan syarikat itu memasuki segmen kenderaan elektrifikasi dengan menawarkan trak pikap yang menggabungkan enjin petrol, sistem pacuan elektrik dan 4WD.

JAC T9 PHEV Petrol dikuasakan enjin petrol turbo 2.0 liter yang digandingkan dengan sistem pacuan empat roda (4WD) elektrik dwi-motor serta transmisi hibrid 4DHT, menghasilkan kuasa gabungan 360kW dan tork maksimum 1,000Nm.