KUALA LUMPUR: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, menggesa syarikat aeroangkasa Perancis untuk memperluas pemerolehan tempatan dan bekerjasama rapat dengan pembekal Malaysia bagi membantu memperkukuh industri aeroangkasa domestik.
Beliau berkata, Malaysia membina keupayaan dalam bidang struktur aero, komposit lanjutan, kejuruteraan jitu, serta perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), dengan syarikat aeroangkasa Perancis memainkan peranan penting membangunkan keupayaan itu.
Johari berkata, Malaysia boleh melangkah lebih jauh ke dalam aktiviti bernilai lebih tinggi seperti kejuruteraan termaju, reka bentuk, penyelidikan, dan teknologi hak milik.








