PUTRAJAYA – Kerajaan terbuka kepada cadangan untuk memperluas skop siasatan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) berhubung projek Lebuh Raya Pan Borneo Sabah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Datuk Mustapha Sakmud berkata, kerajaan tiada halangan sekiranya siasatan lanjut diperlukan bagi memastikan sebarang isu berkaitan projek berkenaan dapat diteliti secara menyeluruh.

Menurut beliau, langkah itu juga boleh memberi ruang kepada hasil siasatan dibentangkan di Parlimen untuk dinilai dan dibincangkan bersama.

“Kita sebenarnya (sebagai) kerajaan terbuka, mana-mana yang perlu dibuat, boleh dibuat. Kalau ada masalah, buat PAC, boleh dibentangkan di Parlimen untuk kita nilai bersama,” katanya ketika ditemui pemberita pada Festival Idea Putrajaya (FOI Putrajaya) di sini hari ini.