KUALA LUMPUR – HLGY Energy Sdn. Bhd. (HLGY Energy) membangunkan projek loji tenaga solar berskala besar pertamanya di Kedah Rubber City (KRC), Padang Terap, membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM500 juta.

Projek itu dijangka mula membekalkan tenaga elektrik menjelang Jun 2028, sekali gus menjadi antara usaha syarikat menyokong peralihan tenaga negara dan memenuhi permintaan elektrik daripada sektor pusat data.

Penasihat Kumpulan HLGY Energy, Levin Tan berkata, projek berkenaan menjadi pencapaian penting syarikat dalam memperluaskan penyertaannya daripada segmen pemasangan solar komersial dan perindustrian kepada pembangunan tenaga boleh baharu berskala besar menerusi Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS).