KUALA LUMPUR: HLGY Energy Sdn Bhd (HLGY Energy) memperkukuh kedudukannya dalam industri tenaga boleh baharu menerusi pembangunan projek loji tenaga solar berskala besar pertamanya di Kedah, membabitkan nilai pembangunan kasar (GDV) kira-kira RM500 juta.

Projek yang dibangunkan di Kedah Rubber City (KRC), Padang Terap itu dijangka mula membekalkan tenaga elektrik menjelang Jun 2028, sekali gus menjadi antara usaha syarikat menyokong peralihan tenaga negara dan memenuhi permintaan elektrik daripada sektor pusat data.

Penasihat Kumpulan HLGY Energy, Levin Tan, berkata projek berkenaan menjadi pencapaian penting syarikat dalam memperluaskan penyertaannya daripada segmen pemasangan solar komersial dan perindustrian kepada pembangunan tenaga boleh baharu berskala besar menerusi Skim Pembekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS).