Kuala Lumpur: Pengalaman mengharungi dua aksi persahabatan menentang China dan Yaman di Zhaoqing, China menjadi bekalan penting buat Harimau Malaya sebelum menghadapi ujian lebih besar menerusi kempen Kelayakan Piala Dunia 2030 yang dijadual bermula tahun depan.
Pengendali interim Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengakui dua perlawanan antarabangsa Tier 1 itu memberi pendedahan berguna kepada pemain negara, terutama dalam menguji kemampuan mereka berdepan pasukan yang mempunyai corak permainan berbeza.
Menurutnya, aksi menentang kedua-dua pasukan berkenaan bukan sekadar medan menguji kekuatan Harimau Malaya, malah peluang untuk pemain menimba pengalaman baharu di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata, pengalaman seperti itu amat diperlukan bagi memastikan pemain lebih bersedia menghadapi cabaran kompetitif yang bakal menanti skuad negara dalam kempen kelayakan tahun depan.









