Tujuh Ahli Parlimen GRS akan mengemukakan memorandum kepada PAC minggu depan bagi memohon skop siasatan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah diperluas.

PAPAR: Tujuh Ahli Parlimen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan mengemukakan memorandum kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) minggu depan bagi memohon skop siasatan projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah diperluas, termasuk meneliti asas dan implikasi keputusan penamatan model Rakan Pelaksana Projek (Project Delivery Partner-PDP) pada 2019.

Ahli Parlimen Papar Datuk Armizan Mohd Ali berkata langkah itu penting bagi memastikan siasatan PAC bukan sahaja menumpukan status dan prestasi semasa projek berkenaan, malah turut meneliti keputusan dasar terdahulu yang didakwa memberikan kesan terhadap jadual pelaksanaan, pelantikan kontraktor serta peningkatan kos pembinaan.