Kuala Lumpur: Pemain perseorangan lelaki negara, Justin Hoh terus menunjukkan prestasi longlai apabila tewas kepada wakil China, Zhu Xuan Chen pada final pusingan kelayakan Terbuka Hong Kong, sebentar tadi.
Dalam perlawanan itu, Justin memerlukan kemenangan untuk layak ke pusingan pertama, namun gagal memberikan aksi bertenaga apabila tewas dalam pertarungan tiga set, 11-21, 21-14, 11-21 dalam masa 45 minit.
Pemain ranking ke-46 dunia berkenaan bermula baik pada pusingan awal kelayakan selepas menang straight set 21-15, 21-17 ke atas Pui Pang Fong dari Macau. Bagaimanapun, momentum itu gagal diteruskan dalam aksi seterusnya.
Mengikut rekod Persekutuan Badminton Dunia (BWF), kekalahan itu menyaksikan Justin terus gagal mencipta impak besar dalam kejohanan Jelajah Dunia BWF apabila hanya tiga kali mara ke suku akhir, masing-masing di Terbuka Australia (Super 500), Terbuka Taiwan (Super 300) dan Masters Taiwan (Super 100), manakala selebihnya dia terpaksa pulang lebih awal daripada 19 kejohanan yang disertai.









