Kuala Lumpur: CIMB Islamic Bank Bhd (CIMB Islamic) menyasarkan peningkatan lebih dua kali ganda aset di bawah pengurusan (AUM) kekayaan Islam menjelang 2030 menerusi pelancaran rangkaian penyelesaian pengurusan kekayaan patuh Syariah.

Sasaran itu adalah sebahagian daripada aspirasi keseluruhan perniagaan pengurusan kekayaan Kumpulan CIMB untuk menggandakan perniagaan menjelang 2030 dan bukannya sasaran tambahan secara berasingan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbankan Islam Kumpulan CIMB, Ahmad Shahriman Mohd Shariff berkata, pelancaran rangkaian penyelesaian komprehensif Pengurusan Kekayaan Islam atau Islamic Wealth Management bertujuan memudahkan pelanggan mengurus kekayaan pada setiap peringkat kehidupan.