Beijing: Kisah seorang lepasan sekolah menengah yang menangguhkan pengajian ke universiti untuk menjaga ibunya yang sakit tenat, sehingga rakan sekelasnya sanggup menyumbangkan koleksi kesayangan mereka bagi membantunya mencetuskan reaksi masyarakat setempat, lapor South China Morning Post.

Pelajar tahun akhir Sekolah Menengah Yuwang di wilayah Anhui, Cao Feng, mengambil keputusan melepaskan tempatnya di universiti bagi menjaga ibunya, Cuiping, 47, yang sedang dirawat di hospital di Shanghai.

Ibunya menghidap penyakit 'generalised myasthenia gravis' yang menyebabkan kelemahan otot, selain tumor timus dan baru-baru ini dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) akibat kegagalan pernafasan.

Bapanya pula menjaga isterinya selama dua jam sehari sebelum bekerja sebagai pemandu e-hailing selama 12 jam, meskipun dia sendiri menghidap tumor, manakala rawatan ICU dilaporkan menelan kos 10,000 yuan (kira-kira RM 6,101) sehari.