Kuala Lumpur: Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) sedang meneroka penerbitan sukuk terjamin kerajaan pertama dalam bentuk tokenisasi di bawah program bernilai RM19.05 bilion bagi menyokong pembangunan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Inisiatif itu menyaksikan MRL memeterai surat hasrat (LOI) dengan CIMB Investment Bank Bhd (CIMB) yang dilantik sebagai pengatur utama tunggal bagi cadangan penerbitan sukuk.

Cadangan yang masih tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa kawal selia itu mencerminkan usaha MRL meneroka pendekatan pembiayaan infrastruktur baharu menerusi penggunaan teknologi kewangan digital.

Jika dilaksanakan, MRL bakal menjadi entiti pertama di bawah Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc) dan penerbit sukuk infrastruktur terjamin kerajaan pertama di Malaysia yang melaksanakan penerbitan sukuk tokenisasi.