LONDON: Pejabat Perdana Menteri United Kingdom (UK) di Downing Street menegaskan Andy Burnham menulis sendiri sebahagian besar teks ucapannya susulan kontroversi penggunaan aplikasi kecerdasan buatan (AI), ChatGPT oleh pembantunya bagi menyemak draf ucapan.

Kontroversi itu tercetus selepas seorang anggota pasukan Perdana Menteri dirakam meminta maklum balas ChatGPT mengenai draf ucapan untuk persidangan Parti Buruh Wales pada Sabtu lalu.

Aplikasi AI itu dilaporkan mencadangkan beberapa penambahbaikan bagi menjadikan penyampaian ucapan berkenaan lebih beremosi.

Gambar yang disiarkan akhbar Mail on Sunday memaparkan pembantu terbabit sedang menyemak teks ucapan menggunakan aplikasi berkenaan ketika menaiki kereta api dari stesen London Euston menuju Holyhead. Beliau turut dilihat menikmati minuman Prosecco.