SEREMBAN – Belum sempat menjamah makanan, seorang pelanggan terus membatalkan hasrat untuk makan selepas mendakwa menemui benda menyerupai najis tikus dalam mi goreng di sebuah restoran di Sendayan, di sini.

Lebih mengejutkan, kejadian itu bukan pengalaman pertama pelanggan berkenaan apabila tiga kali berkunjung ke premis sama, tiga kali juga dia mendakwa berdepan masalah kebersihan makanan.

Menerusi perkongsian di media sosial, pengguna dikenali sebagai Rifaiali_hamzah berkata, kunjungan pertama menyaksikan dia menemui benda menyerupai najis tikus yang dipercayai tergoreng bersama mi goreng.

Katanya, kejadian itu menyebabkan dia tidak jadi makan, manakala kunjungan kedua pula menyaksikan hidangan nasi berlauk yang ingin dinikmatinya dipenuhi lalat.