PETALING JAYA – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencatatkan pendapatan pelaburan sebanyak RM83.32 bilion bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, meningkat 30 peratus berbanding RM63.99 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.
Peningkatan didorong prestasi portfolio pelaburan yang pelbagai, khususnya ekuiti yang terus menjadi penyumbang terbesar kepada pendapatan pelaburan.
Bagaimanapun bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026, pendapatan pelaburan KWSP meningkat lebih sederhana sebanyak tiga peratus kepada RM25.82 bilion, berbanding RM25.07 bilion pada suku sama tahun lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, prestasi bagi sembilan bulan pertama 2026 mencerminkan daya tahan portfolio pelaburan serta kesinambungan strategi kumpulan itu dalam mempercepatkan penjanaan pendapatan.









