KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merekodkan lonjakan pendapatan pelaburan sebanyak 30 peratus kepada RM83.32 bilion bagi tempoh sembilan bulan pertama 2026 berbanding RM63.99 bilion tempoh sama tahun lalu.

Peningkatan itu didorong prestasi portfolio pelaburan yang pelbagai, khususnya sumbangan daripada ekuiti, selain strategi pelaburan yang memberi tumpuan kepada penjanaan pendapatan lebih awal.

Bagi suku ketiga berakhir 30 September 2026, KWSP merekodkan pendapatan pelaburan RM25.82 bilion, meningkat tiga peratus berbanding RM25.07 bilion pada suku sama tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn, berkata prestasi bagi sembilan bulan pertama mencerminkan daya tahan portfolio pelaburan kumpulan.