KUCHING - Seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan, termasuk dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap gurunya menggunakan sebilah kapak serta memiliki bahan letupan tanpa alasan yang sah.Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada remaja itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Leona Dominic Mojiliu.Mahkamah memerintahkan remaja berkenaan dihantar ke Hospital Sentosa bagi menjalani penilaian psikiatri mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah dan menetapkan 17 Disember depan untuk sebutan semula pengurusan kes.Mengikut pertuduhan, kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah sekolah antarabangsa di sepanjang Jalan Kuching-Samarahan pada kira-kira 7.50 pagi, 21 Oktober lepas.Bagi pertuduhan pertama, remaja itu didakwa membawa sebilah kapak kecil sebagai senjata berbahaya, iaitu suatu kesalahan di bawah Seksyen 7 Jadual Kedua Akta Bahan Kakisan dan Letupan serta Senjata Berbahaya 1958 (Akta 357), yang boleh dihukum mengikut Seksyen 7(1)(a) akta sama dengan pemenjaraan hingga 10 tahun.Bagi pertuduhan kedua, remaja itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap gurunya berusia 42 tahun menggunakan kapak kecil mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan.Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun, denda, sebatan atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan.Untuk pertuduhan ketiga, pelajar itu didakwa memiliki bahan letupan, iaitu mercun dan bekas minuman yang diubah suai serta mengandungi bahan letupan, dalam keadaan yang menimbulkan syak munasabah bahawa bahan berkenaan bukan untuk tujuan yang sah.Pertuduhan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 (Akta 207) itu memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Sarawak, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin, dibantu Timbalan Pendakwa Raya Nur Nisla Abdul Latif dan Abdurrahman Abrar Jarni, manakala remaja itu diwakili peguam Wejok Tomik.Sebelum ini, media melaporkan Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Saifullizan Ishak berkata polis telah merakam percakapan 38 saksi, terdiri daripada pelajar, guru, pengawal keselamatan, pakar perubatan dan ibu bapa pelajar, bagi membantu siasatan.- Bernama