PAPAR - Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah berjaya merampas minuman keras tidak bercukai serta produk makanan, kesihatan dan kosmetik yang dipercayai tidak mematuhi keperluan perundangan dengan nilai keseluruhan dianggarkan hampir RM16.88 juta.Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, rampasan itu menerusi enam siri operasi Op Taring Alpha 2 dan Op Taring Alpha 5 yang dijalankan pada 22 hingga 27 Oktober lalu di sekitar Sabah."Hasil daripada enam siri operasi tersebut, pihak polis telah berjaya menahan seramai tiga individu berusia 30-an dan membuat rampasan pelbagai jenis barangan yang disyaki terlibat dalam aktiviti penyimpanan, penjualan dan pengedaran minuman keras tidak bercukai kastam serta produk makanan, kesihatan dan kosmetik yang dipercayai tidak mematuhi keperluan perundangan."Jumlah keseluruhan nilai rampasan bagi keenam-enam operasi ini dianggarkan sebanyak hampir RM16.88 juta," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Briged Sabah PGA, Kinarut, di sini, pada Isnin.Menurutnya, Op Taring Alpha 2 merekodkan rampasan bernilai RM16.2 juta menerusi tiga serbuan di Manggatal, Tamparuli dan Penampang dengan rampasan terbesar melibatkan 433,296 tin minuman keras serta dua lori dan dua van di Penampang pada 27 Oktober lalu."Seterusnya operasi ketiga pada 27 Oktober 2026 di Penampang merupakan rampasan terbesar sepanjang siri operasi ini."Operasi tersebut berjaya membongkar penyimpanan sebanyak 433,296 tin minuman keras pelbagai jenis dan jenama yang disyaki tidak bercukai kastam selain merampas dua buah lori dan dua buah van. Jumlah nilai rampasan bagi operasi ini dianggarkan sebanyak RM13.97 juta," katanya.Sementara itu, beliau berkata, Op Taring Alpha 5 pula merekodkan rampasan bernilai RM675,000 membabitkan pelbagai produk makanan, kesihatan dan kosmetik menerusi tiga serbuan di sebuah pusat beli belah di Kota Kinabalu, Inanam dan Putatan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN)."Jadi hasil daripada siasatan awal yang telah dijalankan oleh pihak polis mendapati premis-premis yang diserbu dipercayai digunakan sebagai lokasi penyimpanan sementara, penjualan dan pengedaran minuman keras serta pelbagai produk makanan, kesihatan dan kosmetik."Siasatan turut mendapati bekalan barangan bagi beberapa premis dipercayai diperoleh daripada pembekal tempatan dan luar negara sebelum diedarkan kepada pelanggan. Apa yang lebih membimbangkan, terdapat premis yang dipercayai telah menjalankan aktiviti perniagaan berkenaan untuk tempoh antara dua hingga ke 16 tahun," katanya.Mohd Yusri berkata, tiga individu yang ditahan merupakan pekerja warga asing manakala premis yang diserbu didapati tidak mempunyai lesen daripada pihak berkuasa tempatan (PBT)."Sehubungan itu, siasatan lanjut sedang dan akan terus dipergiatkan bagi mengenal pasti keseluruhan rantaian bekalan termasuk pembe