KOTA KINABALU: Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan 13 individu dan merampas produk sejuk beku serta pelbagai peralatan bernilai lebih RM7.1 juta hasil operasi di tujuh daerah di Sabah, Selasa lalu.
Operasi dikenali sebagai Op Salju Mega menerusi Op Taring Chiller itu dijalankan di Kota Kinabalu, Tawau, Kunak, Lahad Datu, Sandakan, Beluran dan Ranau bagi membanteras kegiatan penyeludupan, penyimpanan serta pemprosesan produk sejuk beku yang menyalahi undang-undang.
Komander Briged Sabah PGA, Senior Asisten Komisioner Datuk Nor Omar Sappi berkata, operasi bersepadu itu dilaksanakan hasil maklumat orang awam membabitkan lapan serbuan dijalankan antara jam 9 pagi hingga 6 petang.
Katanya, serbuan berkenaan membawa kepada penahanan 13 individu berusia antara 18 hingga 60 tahun termasuk seorang lelaki warga asing.








