KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman akan menghantar pegawai ke Pakistan bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung penahanan 130 rakyat Malaysia di Rawalpindi, pada 13 Oktober lalu.
Siasatan dibuat selepas semua rakyat Malaysia itu ditahan dalam serbuan ke atas sebuah pusat panggilan penipuan dalam talian yang mensasarkan mangsa di negara ini.
Pengarah JSJK Bukit Aman, Datuk Rusdi Mohd Isa, berkata penghantaran pegawai itu bagi mendapatkan keterangan serta menjalankan analisis terhadap peranti dipercayai dirampas dalam serbuan berkenaan.
"Pihak JSJK akan meneliti bahan bukti dirampas, termasuk modus operandi sindiket yang dipercayai menggunakan pakaian seragam pegawai Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpangkat Asisten Komisioner (ACP), bagi tujuan memperdaya mangsa mereka dalam menjalankan kegiatan penipuan.









