KLUANG: Polis akan menyiasat kes seorang lelaki dipercayai bekas guru sekolah menengah yang mengikat leher kucing dengan tali dan menggantungnya pada tingkap cermin sisi kenderaan pikap dipandunya seperti rakaman tular di media sosial petang ini.
Kejadian itu dirakam menerusi video oleh pengguna jalan raya ketika lelaki terbabit memandu di sepanjang laluan Batu 2, Jalan Mersing di sini, pada jam 9.50 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Nor, berkata setakat ini tiada laporan polis dibuat berhubung kes itu, tetapi New Straits Times difahamkan seorang pentadbir (admin) kumpulan Facebook sudah menyerahkan butiran lelaki terbabit dan kenderaan dipandunya itu kepada polis untuk tindakan lanjut.









