Kuching: Seorang pelajar lelaki berusia 16 tahun didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan, termasuk dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap gurunya menggunakan sebilah kapak serta memiliki bahan letupan tanpa alasan yang sah.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada remaja itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Leona Dominic Mojiliu.

Mahkamah memerintahkan remaja berkenaan dihantar ke Hospital Sentosa bagi menjalani penilaian psikiatri mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah dan menetapkan 17 Dis depan untuk sebutan semula pengurusan kes.

Mengikut pertuduhan, kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah sekolah antarabangsa di sepanjang Jalan Kuching-Samarahan pada kira-kira 7.50 pagi, 21 Okt lalu.